Home Nasional Monsun Timur Laut dijangka berakhir esok

Monsun Timur Laut dijangka berakhir esok

Luruan Monsun Timur Laut dijangka berakhir 4 Januari 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) meramalkan Monsun Timur Laut yang melanda negara dijangka berakhir esok.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam masa sama, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu masih berpotensi menyebabkan hujan berterusan di tiga kawasan iaitu utara Sabah, Pantai Timur dan selatan Semenanjung.

“Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MMD-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), luruan monsun yang berlaku dijangka berakhir pada 4 Januari 2022,” katanya yang dimuat naik di Facebook rasmi MET Malaysia, hari ini.

Menurutnya, MET Malaysia juga meramalkan beberapa kawasan lain pula akan mengalami cuaca ribut petir pada sebelah petang hingga malam.

“Cuaca di Semenanjung dijangka akan bertambah baik bermula 5 Januari 2022,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan yang dikategorikan sebagai peringkat buruk dan waspada di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah sehingga Selasa ini.

Sementara itu, bagi amaran angin kencang dan laut bergelora atau kategori pertama, kedua dan ketiga pula, MET Malaysia juga telah mengeluarkan amaran itu bagi beberapa kawasan Pantai Timur Semenajung.

“Ini termasuklah timur Johor, Sarawak dan Sabah yang diramal berterusan sehingga 4 Januari 2022.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada laman web www.met.gov.my dan semua platform media sosial untuk semakan lokasi yang berkaitan.

“Orang awam juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette