Home Nasional Wanita jadi dalang samun bekas majikannya sendiri

Wanita jadi dalang samun bekas majikannya sendiri

Kereta dan beberapa barang yang dirampas dari empat suspek yang ditahan samun bersenjata didalangi seorang wanita tempatan di sebuah premis perniagaan di Damansara Khamis minggu lalu. - Gambar Ihsan IPD PJ.

KUALA LUMPUR – Terdesak memerlukan wang, seorang wanita menjadi dalang menyamun bekas majikannya sendiri di premis perniagaan Damansara Damai, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagaimanapun, suspek dan rakan sejenayah tidak dapat bersembunyi lama selepas berjaya diberkas polis, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Katanya, dalam kejadian pada jam 10 malam pada Khamis lalu, pihaknya menerima laporan daripada pembantu kedai warga Indonesia mendakwa tiga lelaki memasuki premis  dan mengacukan sebilah pisau serta memaksanya menyerahkan wang di kaunter bayaran.

“Hasil soal siasat mendapati, wanita itu yang pernah bekerja di premis berkenaan selama tiga bulan pada 2019 bertindak sebagai perancang terhadap jenayah samun ke atas bekas majikannya.

“Wanita itu mengajak tiga lagi rakan termasuk warga asing untuk melakukan samun di premis tersebut.

“Kesemua suspek berusia antara 19 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di Lembah Klang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, ekoran kejadian itu, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM19,000 serta sebuah telefon bimbit turut dilarikan oleh kumpulan penjenayah itu.

Ujarnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, pisau, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah beg bimbit, serangkai kunci dan wang tunai RM7,000 daripada suspek.

Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod berkaitan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Kesemua suspek termasuk wanita tempatan yang mendalangi samun itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayayh selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Januari ini bagi membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.-MalaysiaGazette