KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 lagi kes positif Covid-19 telah disahkan varian Omicron hari ini.
Menerusi perkembangan terbaharu itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan daripada varian berkenaan sebanyak 122 kes.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengesanan berkenaan diketahui menerusi jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Menurutnya, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import dari luar negara manakala selebihnya penularan tempatan.
Daripada 54 kes import berkenaan, 38 kes dari Arab Saudi, tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat dari United Kingdom, dua dari Nigeria, satu dari Kazakhstan dan satu lagi dari Perancis.
Jelas Khairy, empat kes penularan tempatan yang disahkan varian Omicron dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif Covid-19 di Kedah.
“Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember 2021 dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember 2021.
“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1,220 sampel yang diuji daripada 1,774 kes positif menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.
Kesemua sampel itu adalah dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021.-MalaysiaGazette