Home Seni Hidup Kedai Percuma Pak Nil untuk mangsa banjir di Banting

Kedai Percuma Pak Nil untuk mangsa banjir di Banting

Kedai percuma Pak Nil dibuka di sebuah kawasan di Bukit Canggang, Banting ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

KUALA LUMPUR – Musibah yang melanda dunia dari era pandemik Covid-19 hinggalah ke bencana banjir baru-baru ini melihat sisi kemanusiaan ramai pihak termasuk golongan artis.

Pengacara nombor satu tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil sendiri antara yang tidurnya tidak nyenyak sejak kebelakangan ini memikirkan nasyid mangsa banjir khususnya.

Bermula dengan usahanya baru-baru ini menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan, tercetus idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Katanya, kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

“Ia cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.

“Saya sebelum ke sana sebenarnya turut dihubungi oleh salah seorang pengikut Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai
penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya membuka cerita.

Pemenang 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010 itu juga menyedari kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan ramai.

Katanya lagi, bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) pun kurang.

“Lalu, bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.

“Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1,000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.

“Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” katanya.

Buat permulaan ketika itu, penyanyi lagu Apo menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.

“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.

Aznil bekerjasama dengan pihak seperti jenama Eskayvie dan Nakada untuk membantu mangsa banjir.

Jelas Pak Nil lagi, mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.

“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.

“Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau ‘bank in’ ke 564735801178.

“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Sementara itu bercerita lanjut sewaktu kunjungan kemanusiaan ke sana beberapa kali, air matanya berjuraian tanpa diduga.

“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.

“Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali,” katanya.

Pak Nil menggunakan akaun media sosialnya terutamanya Instagram dan TikTok untuk mengajak khalayak bersama-sama dengannya mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan itu.

“Subhanallah… rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana. Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.

“Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” katanya.

Pak Nil percaya dengan kuasa media sosial termasuk pengaruh dan kedudukan, beliau mampu mengajak orang ramai sama-sama berganding bahu.

“Niat dan matlamat saya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk kita seluruh rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, batas agama, bangsa dan latar belakang.

“Hari ini, hari mereka… siapa tahu esok lusa hari kita pula?” kata Aznil yang juga pengasas Yayasan Pesona dalam nada sayu. – MalaysiaGazette

Aznil menggunakan akaun media sosialnya terutamanya Instagram dan TikTok untuk mengajak khalayak bersama-sama dengannya mencari dana.