KUALA LUMPUR – ‘Pegawai polis’ buat panggilan video dengan mangsa dikesan taktik terbaharu sindiket penipuan Macau Scam.
Akibatnya ada mangsa terpedaya dan mengalami kerugian seperti satu laporan yang diterima semalam, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Katanya, aduan diterima daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang merupakan suri rumah.
“Mangsa dalam laporan itu mendakwa dia telah menerima panggilan dari seorang individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans dan panggilan itu disambungkan kepada seorang pegawai polis.
“Melalui semakan maklumat peribadi mangsa dimaklumkan suspek kononnya dia telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan rasuah.
“‘Pegawai polis’ tersebut telah membuat panggilan video dengan berpakaian seragam menggunakan aplikasi yang menampakkan pergerakan mulut seolah-olah macam orang sebenar sehingga mengelirukan pengadu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Eng Lai, kes telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum selama tempoh setahun dan maksimum 10 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahannya.
“Kaedah helah sindiket ini boleh memperdayakan dan menjerat orang ramai terhadap penipuan Macau Scam mereka sehingga mengakibatkan kerugian wang dalam jumlah yang agak besar.
“Polis memandang serius dengan kes-kes melibatkan panggilan palsu yang menggunakan gambar profil pegawai polis dan pihak penguat kuasa bagi mengaburi orang ramai.
“Polis menasihati orang ramai supaya sangat berhati-hati dengan panggilan yang diterima dari individu tidak dikenali dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu agar tidak terperangkap dalam penipuan mereka,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi
membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan.- MalaysiaGazette