Home Nasional Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak 10 Januari ini

Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak 10 Januari ini

Mohamed Azmin Ali Gombak voters fiduciary duties deceit
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Januari ini bagi mendengar pengurusan kes rayuan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman oleh 10 pengundi berdaftar di kawasan itu yang mendakwa beliau menipu dan melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai Ahli Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan peguam, N Yohendra yang mewakili 10 pengundi Gombak ketika dihubungi selepas prosiding kes rayuan menerusi Zoom di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Yacob Sam, bersama Datuk S Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.

Perkara itu turut disahkan peguam, Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan Mohamed Azmin untuk mengatur rekod rayuan bagi membolehkan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada tarikh berkenaan.

Pada 10 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman 10 pengundi terbabit yang bertindak selaku plaintif.

Mahkamah turut menolak permohonan plaintif untuk memadamkan sebahagian pembelaan Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pengundi itu atas alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan, suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan melanggar hak asasi beliau untuk bebas berpersatuan mengikut Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 27 November 2020 atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Kesemua plaintif berusia antara 37 hingga 65 tahun itu memohon perisytiharan, antaranya Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, melanggar kewajipan fidusiari beliau, menipu dan memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka pada pilihan raya umum (PRU) bagi kawasan berkenaan.

Justeru, mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – MalaysiaGazette