Home Nasional Bomba hantar bekalan makanan ke kampung terputus hubungan di Segamat

Bomba hantar bekalan makanan ke kampung terputus hubungan di Segamat

SEGAMAT – Meskipun cuaca bertambah baik di sekitar daerah ini namun masih ada kawasan yang masih dilanda banjir dan memerlukan bantuan bekalan makanan.

Justeru, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Segamat hari ini masih meneruskan misi bantuan bekalan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan di Kampung Lukut Lanjut.

Dimaklumkan seramai 34 mangsa daripada 7 keluarga terputus hubungan akibat laluan utama di kampung itu ditengelami air.

Selain Kampung Lukut Lanjut, laluan utama itu menghubungkan tiga kampung iaitu Kampung Mensudut Laut dan Kampung Batu 10.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Rasidi Md Yunos memberitahu, Kampung Lukut Lanjut  kini berubah menjadi seolah-olah ‘pulau’ dan memerlukan perhatian khusus daripada pasukannya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan penduduk dalam keadaan selamat.

“Hari ini pihak bomba memberi bantuan kepada masyarakat di Kampung Lubuk Lanjut di mana kami menghantar bekalan makanan yang telah terputus hubungan dan menjadi ‘pulau’.

“Kami ada aset tetapi kami tiada bekalan kerana tugas utama kami adalah menyelamat nyawa manusia tetapi dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mereka ada bekalan, kami ada logistik, jadi kami bergabung bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Misi Bantuan Bekalan Makanan JBPM Segamat di Kampung Lukut Lanjut di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk terperangkap, Wahida Wahid, 44, yang juga orang kurang upaya (OKU) bersyukur dengan bantuan yang diberikan pihak berkuasa terutama daripada pihak bomba.

Wahidah Wahid

“Kita ada anak-anak jadi mereka boleh membantulah, kalau nak bangun ada bantu. Bersyukur ada bantuan JKM, bomba semua,” katanya.

Sementara itu, Rasidi memberitahu, paras air di Sungai Muar masih berada di tahap bahaya walaupun berlaku penurunan.

Menurutnya, air di Sungai Muar di Kampung Awat dan di Buluh Kasap masih berada pada paras bahaya.

Limpahan air Sungai Muar di Segamat berpunca daripada paras air  tinggi di bahagian hulu, katanya.

PgB Rasidi Md Yunos

“Memang betul keadaan cuaca cerah tetapi saya ingin berpesan penduduk di Segamat ada setengah tempat masih dinaiki air untuk makluman paras air masih paras bahaya.

“Sekarang ini air turun dari Negeri Sembilan ke Segamat dan akan ke Bukit Kepong ke Kundang Hulu dan terus ke kuala.

“Jadi, jangan terperanjat ada kawasan yang sebelum ini tak banjir tiba-tiba rumah dia orang naik air kerana air turun dari hulu ke hilir.

“Jadi yang belah-belah hilir itu akan tunggu masa sahajalah. Jadi saya ingatkan pada penduduk sepanjang Sungai Muar supaya berhati-hati,” katanya.

Anggota dan Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam misi menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Lukut Lanjut,Segamat yang terputus hubungan disebabkan banjir di daerah itu.

Rasidi berkata, walaupun keadaan banjir dilihat semakin pulih, orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sebagai langkah keselamatan.

Setakat ini, terdapat dua pusat perpindahan sementara (PPS) iaitu Balairaya Padang Kiambang dan Taman Suria serta satu melibatlkan Kampung Spang Loi yang masih terputus hubungan dan memerlukan penghantaran bantuan menggunakan bot.-MalaysiaGazette