KUALA LUMPUR – Empat buah kedai dua tingkat hampir musnah dalam kebakaran berhampiran sebuah stesen minyak Taman Sri Manja, Taman Petaling Utama dekat sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.39 malam membabitkan dua buah kedai alat ganti kereta dan dua buah kedai motosikal serta aksesori berkeluasan kira-kira 130 meter persegi.
Menurut beliau, seramai 38 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala, BBP Seksyen 7, BBP Subang Jaya serta BBP Puchong terlibat dalam operasi pemadaman dengan diketuai Komander Operasi Kanan, Pegawai Bomba Kanan II, Samso Ismail.
“Anggaran kemusnahan secara keseluruhan adalah 80 peratus dan tiada mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Norazam, kebakaran yang berlaku dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 10.11 malam. – MalaysiaGazette