Home Nasional Pemilik Myvi biru pandu lawan arus dicari

Pemilik Myvi biru pandu lawan arus dicari

Video berdurasi sembilan saat memaparkan sebuah Perodua Myvi dipandu secara melawan arus.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik Perodua Myvi berwarna biru yang dipandu secara melawan arus di Jalan Bukit Rotan berdekatan Taman Kasawari, Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian itu tular menerusi video berdurasi sembilan saat di laman Facebook sekitar pukul 11 pagi kelmarin.

“Siasatan awal yang dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor mendapati kejadian berlaku pada 1 Januari pada pukul 10.55 pagi.

“Polis IPD Kuala Selangor kini dalam usaha mengesan pemilik kenderaan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta untuk menghubungi balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau 03-32891222. – MalaysiaGazette