Home Nasional Polis cadang letak lima bot setiap IPD bagi persediaan banjir

Polis cadang letak lima bot setiap IPD bagi persediaan banjir

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali hadir pada sidang media mengenai isu banjir yang melanda di negara ini di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk mendapatkan lima buat bot bagi setiap 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi musibah ketika musim banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, namun perkara itu masih berada dalam peringkat perancangan dan ia akan dipanjangkan kepada kerajaan.

“Selepas apa yang berlaku pada 18 Disember lalu, kita telah merancang untuk meningkatkan keupayaan PDRM dengan mendapatkan fasiliti keselamatan sekurang-kurangnya lima buah bot bagi setiap 157 IPD.

“Bot-bot berkenaan adalah sebagai respon pantas sekiranya berlaku bencana seperti banjir dan itu memang perancangan kita dan kita akan panjangkan kepada pihak kerajaan,” katanya menerusi sidang media di Menara 1, Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hazani berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir melibatkan tujuh negeri berjumlah 13,322 orang dari 3,989 keluarga dengan 172 pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif.

Tambah Hazani, sepanjang operasi banjir dijalankan, seramai 6,042 pegawai dan anggota dari tujuh kontinjen negeri terlibat bersama pelbagai aset turut digerakkan.

“Selain itu, kita turut menggerakkan Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Simpanan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan mangsa banjir dari 10 November 2021 sehingga semalam adalah seramai 505,069 orang. – MalaysiaGazette