KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd memohon maaf kepada pengguna ekoran berlaku kelewatan terhadap jadual perjalanan perkhidmatannya.
Kelewatan tersebut berlaku berikutan masalah teknikal yang terjadi di Stesen MRT Phileo Damansara.
Rapid Rail dalam kenyataannya berkata, masalah tersebut berpunca daripada salah sebuah tren bernombor 22 yang mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan.
“Pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan.
“Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.
“Sebaliknya, pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, situasi tersebut telah menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform.
Kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail dan fokus operasi adalah untuk memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.
Katanya lagi, pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal.
“Pengguna diminta untuk mengikut status terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini,” jelasnya. – MalaysiaGazette