Home Utama Kanak-kanak 5 hingga 11 tahun layak terima vaksin Pfizer

Kanak-kanak 5 hingga 11 tahun layak terima vaksin Pfizer

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun kini layak mendapatkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang telah bersidang pada hari ini.

“Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 30 peratus golongan dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak dan 52 peratus golongan warga emas telah menerima doa yang sama.

“Kita akan terus minta mereka yang sudah dapat tarikh temu janji atau daftarkan dengan klinik swasta untuk dapatkan vaksinasi penggalak,” tambahnya.

Menurut Khairy Jamaluddin, PBKD juga telah memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia (CanSino) sebagai dos penggalak kepada individu yang berumur
18 tahun dan ke atas dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas dos pertama daripada vaksin yang sama.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi akan dibuka bagi memantapkan program pemberian dos penggalak di Lembah Klang.

Empat PPV yang akan beroperasibermula  15 Januari ini adalah PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur; PPV Axiata Arena; Bukit Jalil; PPV IDCC, Shah Alam dan PPV Soka Gakkai, Klang.-MalaysiaGazette