KUALA TERENGGANU – Kerajaan berharap Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji oleh jemaah luar negara tahun ini, walaupun dunia berhadapan dengan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya Februari ini bagi membincangkan hal-hal berkaitan termasuk pengekalan kuota seramai 30,000 jemaah setiap tahun.
“Setakat pertemuan awal dengan kerajaan Arab Saudi Disember lepas, ibadah haji untuk tahun ini masih dibenarkan dan mereka pun tidak berhasrat untuk tutup.
Bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata orang ramai digalakkan membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama negeri sekiranya terdapat aktiviti khurafat dan berunsur sesat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
— BERNAMA