Home Nasional Zoo Melaka jadi perintis program pembiakan Harimau Malaya

Zoo Melaka jadi perintis program pembiakan Harimau Malaya

MELAKA – Zoo kedua terbesar negara, Zoo Melaka dipilih menjadi perintis program pembiakan khas (ex-situ) Harimau Malaya yang kini semakin terancam sebelum dijangka pupus 10 tahun lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, usaha itu dilihat mampu menyelamatkan spesies terbabit yang kini populasinya dianggarkan kurang 200 ekor di hutan negara ini.

Angka itu katanya, agak membimbangkan dan program ex-situ diharap dapat membantu meningkatkan populasi Harimau Malaya sekaligus mengelakkannya daripada pupus menjelang 2032.

“Memang kita ada perancangan bersama Zoo Melaka untuk melakukan proses pembiakan Harimau Malaya yang mana program ex-situ ini mungkin akan bermula tahun ini.

“Kalau kita tidak buat sesuatu yang drastik, kemungkinan dalam masa antara lima hingga 10 tahun hutan kita sudah tiada Harimau Malaya kecuali kira-kira 60 ekor yang terdapat di dalam zoo sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Perhilitan yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHT, Datuk Shadan Othman di sini petang tadi.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, melalui program itu, Perhilitan kita akan lakukan pembiakan apabila anak harimau sudah sesuai dalam tempoh dua atau tiga tahun sebelum dilepaskan ke dalam hutan.

“Buat masa ini, kita fokus kepada spesies ini kerana populasinya di dalam hutan negara kita dianggarkan kurang daripada 200 ekor manakala hanya terdapat kira-kira 60 ekor sahaja di zoo,” katanya.

Menurut beliau, antara faktor yang dikesan menyebabkan populasi haiwan itu terancam adalah jerat yang dipasang pemburu serta habitatnya yang semakin kecil.

Sementara itu Shadan berkata, MoU itu bakal menjalinkan hubungan dua hala membabitkan aspek konservasi dan perlindungan hidupan liar agar tidak pupus khususnya dalam membantu pembiakan baka serta bidang penyelidikan.

“Tambahan pula, Zoo Melaka bukanlah untuk mengaut keuntungan sebaliknya menjadi pusat konservasi dan pendidikan untuk generasi hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette