KUALA LUMPUR – Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik sebanyak RM500 dalam bentuk e-rebat akan disalurkan kepada mangsa banjir.
Ia bertujuan untuk meringankan beban kepada pengguna elektrik domestik yang terkesan untuk membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia merupakan Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk Pembelian Peralatan Elektrik Domestik Kepada Mangsa Banjir Yang Terkesanseperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 29 Disember 2021.
Menurutnya, pelaksanaannya akan menggunakan platform dan mekanisme Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia).
Bantuan khas itu dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna/pemilik akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik, rumah kediaman yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai Mangsa Bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Melalui bantuan ini, setiap rumah kediaman pengguna/pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang layak boleh memohon dan mendapatkan e-rebat bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasaraya yang berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf di bawah Program SAVE,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, pemberian bantuan itu hanya untuk 15 peralatan elektrik domestik yang disenaraikan, tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga dan perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik.
Bagaimanapun, katanya, pengguna digalakkan membeli peralatan elektrik berlabel cekap tenaga.
Pembelian barangan program ini akan bermula pada 7 Januari 2022.
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh merujuk ke laman sesawang di pautan http:/www.seda.gov.my/bantuan.- MalaysiaGazette