KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Udinese, Fernando Forestieri kini dikatakan semakin hampir beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022.
Spekulasi mengenai pemain berusia 31 tahun itu bertiup kencang selepas sebuah portal bola sepak di United Kingdom (UK), The Star mendakwa penyerang berkenaan akan berhijrah ke Liga M.
Portal terbabit mendakwa Johor Darul Ta’zim (JDT) dipercayai menawarkan peluang baharu buat penyerang yang pernah beraksi bersama skuad muda Itali itu dan difahamkan rundingan ketika ini sedang memasuki peringkat awal namun Harimau Selatan dikatakan yakin dapat mengikat pemain itu.
Untuk rekod, Forestieri adalah rakan sepasukan Manuel Hidalgo di Sheffield Wednesday sebelum ini di mana Hidalgo sudah pun menyertai Liga M bersama Sri Pahang FC, musim lalu.
Selain beraksi bersama Udinese dan Sheffield Wednesday, Forestieri kebanyakannya beraksi di Itali bersama Genoa, Siena, Vicenza, Empoli dan Bari.
Perkembangan ini juga semakin mengesahkan bayangan yang diberikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan ‘memancing’ pemain dari Serie A selepas Bergson mengatakan dia kesunyian di bahagian hadapan. – MalaysiaGazette