Home Sukan Izuddin teruja kembali ke Kelantan

Izuddin teruja kembali ke Kelantan

Muhaimin Izuddin Muhd. Asri.

KUALA LUMPUR – Setelah menjadi antara tonggak yang menyerlah bersama Skuad Projek FAM-MSN musim lalu, Muhaimin Izuddin Muhd. Asri gembira kerana kembali semula ke pasukan negeri kelahirannya, Kelantan FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Walaupun mendapat beberapa tawaran dari pasukan lain, Izuddin yang bakal genap berusia 20 tahun ini mengakui sukar untuknya menolak peluang bermain dengan Kelantan selain faktor persiapan pasukan yang tampak serius bagi mencabar kejuaraan Liga Premier.

Justeru, Izuddin berharap pilihannya mengembangkan karier bersama Kelantan FC adalah tepat walaupun sedar perlu bersaing dengan pemain import serta tempatan berpengalaman bagi mendapatkan minit permainan.

Dia sebelum ini yang memulakan kariernya bersama pasukan Piala Belia Kelantan pernah mendapat peluang diturunkan oleh Yusri Che Lah di dalam skuad senior pada kempen Liga Malaysia sebelum ke Skuad Projek FAM-MSN pada 2021.

“Sebenarnya saya ada mendapat tawaran untuk kekal semusim lagi bersama Skuad Projek tetapi apabila mendapat panggilan dari barisan kejurulatihan Kelantan, mereka mahu saya kembali pulang ke sini.

“Selain itu, saya turut mendapat tawaran dari tiga pasukan lain di Liga Premier namun setelah berfikir semasak-masaknya, saya rasa lebih baik pulang semula menabur bakti bersama Kelantan.

“Perasaannya sudah tentu teruja kerana dapat bermain dengan Kelantan biarpun saya tidak nafikan suasananya pasti berbeza ketika saya bersama Skuad Projek.

“Di Skuad Projek, kami semua adalah sebaya dan peluang bagi dapatkan tempat mungkin terbuka namun di Kelantan, sudah tentu saingannya agak sengit serta mencabar kerana terdiri dari ramai pemain lebih senior,” katanya.

Musim lalu, Izuddin bermain dalam 18 dari 20 perlawanan bersama Skuad Projek FAM-MSN dengan 13 daripadanya beraksi dalam kesebelasan utama dan telah menjaringkan satu gol.

Menjadikan Nik Akif Syahiran dan Danial Ashraf sebagai idolanya, Izuddin yang beraksi selaku penyerang dan pemain tengah, dijangka mampu menjadi antara pemain prospek besar buat pasukan Kelantan bagi jangka masa panjang.

Sementara itu, Izuddin mengharapkan dapat membantu Kelantan kembali ke saingan Liga Super pada musim 2023 seiring dengan sasaran yang ditetapkan oleh pemilik pasukan, Norizam Tukiman.

“Kalau ikut sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan, 2023 adalah tahun mahu melihat kembali pasukan ke Liga Super selain cuba meraih sekurang-kurangnya slot naib juara Liga Premier.

“Saya harap mampu menjadi sebahagian dari tonggak yang mampu membantu menaikkan semula bola sepak Kelantan seperti mana satu ketika dahulu, ” katanya. – MalaysiaGazette