Home Nasional Kementerian, NGO belanja RM2 juta bantu mangsa banjir Hulu Langat – Zuraida

Kementerian, NGO belanja RM2 juta bantu mangsa banjir Hulu Langat – Zuraida

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) melihat barangan yang dibersihkan selepas terjejas akibat banjir pada Program Ziarah Prihatin di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – Prihatin dengan keadaan banjir di negara ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin turun padang menghulurkan pelbagai jenis bantuan sejak hari pertama musibah itu berlaku.

Malah antara kawasan yang telah diberikan perhatian oleh Ahli Parlimen Ampang itu ialah Hulu Langat dengan setakat hari ini telah berbelanja lebih RM2 juta bagi kos peralatan, barangan asas, bantuan pasca banjir selain wang tunai.

Zuraida memaklumkan, perbelanjaan tersebut bukan sahaja melalui kementerian sahaja sebaliknya juga melalui peruntukan lain termasuklah sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti termasuk Penggerak Negara dan Nations of Women (Now) yang turut dinaunginya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (tiga kiri) hadir pada Program Ziarah Prihatin di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2022.

“Kita belanja banyak, dari kementerian saya sahaja untuk peralatan membersih seperti water jet dan lain-lain kita telah habis lebih RM150,000, juga sumbang wang tunai lebih RM150,000. Ada lagi sumbangan barangan asas dan keperluan yang rata-rata sudah musnah pada banjir, itu juga sekitar lebih RM150,000.

“Saya berani mengatakan RM1.5 juta telah dibelanjakan setakat ini bagi membantu banjir di sekitar Hulu Langat sahaja. Jika hendak campur pula dengan sumbangan NGO kita, mungkin sudah belanja sekurang-kurangnya lebih RM2 juta.

“Ini baru perbelanjaan untuk Hulu Langat sejak hari pertama banjir lagi,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Prihatin di Kampung Batu 18, Hulu Langat hari ini.

Menurut Zuraida, ia tidak termasuk bantuan kepada negeri-negeri lain.

“Saya akan turun ke Melaka esok. Ada lagi negeri seperti Pahang, Johor semua dalam perancangan. Apa yang sedang dilalui oleh rakyat sangat menyedihkan, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan juga sedang diagihkan dengan cepat sekali supaya mangsa dapat manfaatkan sebaik mungkin.

“Malah Perdana Menteri sendiri telah mengarahkan semua untuk mempercepatkan proses pemberian bantuan dan sumbangan secepat yang boleh, kita juga mohon NGO setempat untuk bantu mereka yang memerlukan di bawa terus ke pejabat daerah.

“Kerajaan telah berbelanja RM1.4 bilion tangani musibah yang kita tidak sangka begitu besar impaknya,” katanya lagi.

Zuraida hari ini turut meluangkan masa melawat sendiri beberapa lokasi terjejas di Kampung Batu 16, 17 dan 18 di Hulu Langat.

Seramai 30 buah keluarga atau 150 orang telah menerima pelbagai jenis bantuan asas dan wang tunai.

Rata-rata mereka melahirkan rasa gembira dengan keprihatin Zuraida dan sempat memberitahu keperitan dilalui oleh mereka pada masa ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (kiri) bertanyakan khabar kepada salah seorang penduduk yang kediamannya terjejas akibat banjir pada Program Ziarah Prihatin di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2022.

Menurut Zuraida, banjir kali ini merupakan yang terburuk  sejak 50 tahun lepas.

“Berat sungguh tanggungan mereka tetapi kita ada untuk ringankan bebanan tersebut. Ada banyak bantuan seperti sumbangan wang tunai, baucer barangan elektrik juga morotorium dan pinjaman di peruntukkan oleh kerajaan.

“Saya juga telah gerakkan NGO-NGO bawah kelolaan saya untuk turun membantu, sebelum ini saya telah bawa mereka ke lokasi bencana alam seperti Acheh dan Padang, pengalaman itu telah di maanfatkan sepenuhnya bagi membantu rakyat kita pada masa ini. Insya Allah semuanya akan kembali seperti sedia kala tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette