Home Nasional Kerajaan Johor tidak akan biarkan mangsa banjir

Kerajaan Johor tidak akan biarkan mangsa banjir

Hasni (tengah) bersama penyanyi, Amy Search beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir semasa lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pagoh, Muar di sini hari ini.

MUAR – Kerajaan Negeri Johor akan memperkenalkan pelbagai bantuan pasca banjir bagi meringankan beban semua mangsa bencana itu di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan telah merangka pelbagai bantuan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.

“Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak perlu bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja.

“Kerajaan negeri telah merangka bantuan pasca banjir. Bagaimanapun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa,” katanya selepas  mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh, di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Negeri Terlibat Banjir Tahun 2022 (Fasa 1) dan Bantuan Wang Ihsan Johor Tahun 2022 (Fasa 1) sebanyak RM1,500 kepada wakil keluarga mangsa banjir.

Lawatan itu turut disertai penyanyi tersohor negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64 yang turut menghulurkan sumbangan produk kopinya kepada mangsa banjir.

Dalam pada itu, Hasni mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan golongan sukarelawan yang terlibat dalam menguruskan mangsa banjir di negeri ini.

“Kalau kita lihat hari ini hanya tinggal empat daerah sahaja yang masih membuka PPS. Daerah lain telah mula menutup PPS.

“Kalau kita lihat, persediaan banjir pada kali ini begitu baik, semua agensi memainkan peranan masing- masing dan tahu peranan masing-masing yang perlu dimainkan, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” katanya.- MalaysiaGazette