KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan insiden sebuah tren gagal berhenti di Hentian Kuala Gris di Kelantan sehingga menyebabkan kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong gagal ke sekolah, hari ini.
KTMB dalam satu kenyataannya melahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut yang membabitkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi.
“Siasatan sedang dijalankan dan kakitangan yang terlibat telah digantung tugas dan tindakan disiplin akan diambil jika berlaku kecuaian,” kata perkhidmatan itu, hari ini.
Media hari ini melaporkan 100 pelajar sebuah sekolah di Kelantan tidak dapat mengikuti sesi persekolahan hari pertama kerana sistem pengangkutan yang diambil mereka gagal berhenti di stesen.
Mengikut jadual, kereta api itu sepatutnya berhenti di stesen Kuala Gris pada pukul 6.59 pagi dan tiba di Dabong kira-kira 20 minit, namun pemandu tren tidak berbuat demikian.
Bagimanapun pelajar tetap setia menunggu sehingga pukul 7.30 pagi sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, KTMB membuat permohonan maaf kepada semua pelajar terbabit dan kesal akan apa yang telah berlaku.
“KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal atas kejadian yang berlaku. Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette