Home Nasional Jurujual terlepas hukuman penjara sebabkan kematian kanak-kanak

Jurujual terlepas hukuman penjara sebabkan kematian kanak-kanak

Mohammad Norzaikimi (kanan) bersama peguambela, Nik Saiful Adli selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu melepas dan membebaskan dia dari hukuman penjara.

KOTA BHARU – Promoter barangan kesihatan yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak dalam kemalangan di Jalan Taman Buaya, Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, dua tahun lalu terlepas daripada hukuman penjara.

Tertuduh, Mohammad Norzaikimi Al Ami Mohd Nor, 22, dilepas dan dibebaskan oleh Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memenuhi elemen kesalahan untuk mengasaskan kes prima facie.

Jurujual itu yang diwakili peguambela, Nik Saiful Adli Burhan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, tanpa dipanggil membela diri.

Mohammad Norzaikimi Al Ami berasal dari Kampung Badang dekat sini, dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Mengikut fakta kes, pada 2 Januari 2019, tertuduh yang memandu kereta jenis Perodua Kancil melanggar belakang motosikal mangsa yang dinaiki tiga individu dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu.

Mangsa yang meninggal dunia, Nor Amysha Umairah Muhamad Azihan berusia tujuh tahun, sedang membonceng motosikal bersama ibu saudara dan sepupunya.

Mohammad Norzaikimi Al Ami kemudian dalam laporan polis menyatakan, motosikal ditunggang mangsa tidak memasang lampu dan mereka menuju ke laluan keretanya dalam keadaan gelap dan lampu jalan tidak berfungsi.

Perbicaraan berjalan selama hampir dua tahun bermula Jun 2020 dengan sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Peguam Nik Saiful Adli menghujahkan, polis dan Puspakom gagal memeriksa fungsi lampu motosikal mangsa, yang menjadi elemen penting menentukan liabiliti OKT meskipun telah diberitahu oleh OKT dalam laporan polis.

Saksi kelapan pula, Dr. Jeyaseelan G. Vasanthakumaran yang memeriksa mangsa bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa mangsa tidak akan meninggal dunia sekiranya memakai topi keledar.

Selain itu, pegawai penyiasat dalam keterangannya menyatakan, keadaan mangsa menunggang secara bertiga mengundang risiko bahaya. – MalaysiaGazette