Home Nasional Macam dapat ‘angpow’ raya – Penerima BWI

Macam dapat ‘angpow’ raya – Penerima BWI

Serama 478 penerima Bantuan Wang Ihsan banjir di Dewan Konvemsyen Bera menzahirkan rasa kesyukuran

BERA – Kali pertama melalui pengalaman dilanda banjir adalah detik yang tidak dapat dilupakan Oh Lean Hwa, 56.

Siapa sangka selepas hampir setengah abad, dia terpaksa berhadapan saat-saat menakutkan apabila kediamannya dinaiki air dan kesemua perkakasan rumah tidak dapat diselamatkan.

Namun di sebalik bencana yang mengejutkan di Taman Melon, Triang Pahang itu, Lean Hwa bersyukur kerana kerajaan amat mengambil berat terhadap mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 manakala RM500 lagi disumbangkan pula oleh kerajaan negeri.

Katanya, beliau merancang mahu memberi barangan keperluan sekurang-kurangnya bagi menggantikan apa yang penting menggunakan wang tersebut.

“Air paras satu kaki setengah,  cepat sangat dan kami lari di tingkat atas masa banjir tempoh hari, tapi seronok juga dapat bantuan macam dapat ‘angpow’ raya.

“Terima kasih kerajaan, dapat bantuan cepat, banyak steady’kerajaan, tak perlu report polis dan bantuan segera terus.

“Tidak perlu susah-susah, tidak perlu beratur panjang, hari ini Perdana Menteri sendiri turun bagi wang bantuan, kami tunggu di sini,” ujarnya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menerima bantuan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Umadewi A/P Gunasami ,48, menzahirkan rasa bersyukur mendapat bantuan walaupun tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya tidak sempat pindah ke PPS tapi dapat menumpang rumah ibu mentua. Namun masih dapat cepat bantuan oleh kerajaan.

“Kali pertama rumah kena banjir dan air naik sehingga paras lutut, sebelum ini memang tidak pernah kena banjir,” katanya.

Ujar Umadewi, beliau tidak sempat mengalihkan barangan ke tempat lebih selamat, dan setelah mencuci rumah ketika pasca banjir, beliau hanya menyimpan barang yang masih elok dalam plastik sampah.

“Barang sudah bersih semua dalam plastik sampah, belum ada perabot untuk simpan barang, jadi duit ini untuk beli perabot baru simpan barang,” katanya ketika di temui semasa Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Bera.

Dalam pada itu, seramai 478 penerima BWI di Dewan Konvensyen Bera hari ini merupakan kumpulan terakhir menjadikan kesemua mangsa banjir di daerah Bera telah menerima bantuan tersebut. – MalaysiaGazette