ANKARA/BUENOS AIRES – Sekurang-kurangnya tujuh maut apabila dinding ngarai runtuh di atas bot laju di sebuah tasik di tenggara Brazil, menurut pihak berkuasa tempatan.
Runtuhan batu di Lago de Furnas dekat bandar Capitolio menghempap empat buah bot yang mana dua daripadanya tenggelam, kata sumber tempatan, manakala rakaman video insiden tersebut tular di laman media sosial.
Jabatan Bomba Minas Gerais berkata, tiga orang yang hilang ditemui di atas sebuah bot, lapor agensi berita, Anadolu.
Terdahulu, Ketua Bomba, Edgard Estevo berkata, seramai 20 orang hilang akibat insiden tersebut.
Misi mencari dan menyelamat telah dilakukan dan para penyelam menghentikan usaha pencarian pada sebelah malam kerana ia berisiko.
Jurucakap Jabatan Bomba, Pedro Aihara memberitahu stesen televisyen Brazil, EPTV, bahawa beberapa orang yang hilang telah ditemui selepas pihaknya menghubungi hospital.
Gabenor Minas, Romeu Zema menerusi akaun Twitternya berkata, kejadian berlaku berikutan hujan lebat yang menyebabkan dinding batu di Lago de Furnas menjadi rapuh. – Agensi