Home Utama Ceria kembali ke sekolah walaupun terjejas banjir

Ceria kembali ke sekolah walaupun terjejas banjir

Seorang murid mencium ibunya semasa hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 untuk negeri Kumpulan B ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

BANTING – Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi negeri Kumpulan B yang bermula hari ini berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Murid-murid hadir ke sekolah dengan keadaan ceria selepas bercuti selama tiga minggu.

Malah sebahagian besar mereka menunjukkan semangat tinggi apabila hadir seawal pukul 6.30 pagi lagi.

Murid-murid melakukan pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sambil diperhatikan oleh guru yang bertugas bagi memulakan sesi persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 untuk negeri Kumpulan B ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

Suasana itu dapat dilihat ketika tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang di sini hari ini.

Sekolah tersebut antara terkesan akibat bencana banjir baru-baru termasuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bagi seorang ibu, Siti Mariam Majid yang ditemui berkata, kesemua buku-buku anak-anaknya tidak diselamatkan ketika bencana tersebut.

Siti Mariam Majid. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

Katanya, ini kerana ketika kejadian dia dan keluarga tiada tiada di rumah kerana pulang ke kampung.

“Buku-buku anak-anak habis tidak dapat diselamatkan sebab kebetulan tiada di rumah kerana kami balik kampung. Cuma baju sekolah masih okey dan saya basuh balik serta hanya beli peralatan baharu yang penting.

“Tapi anak saya tetap semangat ke sekolah hari,” katanya.

Bagi seorang bapa, Sabree Jamil mengakui persiapan anaknya masuk ke sekolah agak kelam-kabut kerana memberi fokus kepada pasca banjir untuk membersih rumah.

Sabree Jamil. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

Jelas beliau, ini kerana rumah keluarga ditenggelam air sehingga paras lutut.

“Saya tidak bersedia sangat dengan persiapan dan kelam-kabut kerana fokus banjir namun anak-anak tetap gembira kembali ke sekolah walaupun ada kekurangan,” katanya.

Semalam, persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 bagi negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kecuali beberapa sekolah di Johor yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan terlibat dengan banjir.

Sebelum ini, sesi penggal ketiga ditetapkan bermula pada 2 Jan 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Jan 2022 bagi Kumpulan B, namun ditangguhkan selama seminggu berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Murid hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 untuk negeri Kumpulan B ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini memaklumkan sesi persekolahan penggal 3 2021/2022 yang bermula semalam dan hari ini membabitkan sesi bersemuka secara penggiliran.

Kementerian berkata, bagi sekolah rendah, kumpulan murid yang perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran melibatkan murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

Ia turut membabitkan murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran.

Murid MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah tidak perlu bimbang kerana ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. – MalaysiaGazette