Home Nasional Ingkar SOP: Pengurusan Kuil Batu Caves dikompaun RM1,000

Ingkar SOP: Pengurusan Kuil Batu Caves dikompaun RM1,000

Gambar hiasan Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2021.

GOMBAK – Pengurusan Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves, di sini, dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, semalam pihaknya mengesan video berdurasi 45 saat berkenaan satu majlis keagamaan yang diadakan di Kuil Sri Subramaniam.

“Sejurus video itu dikesan tular, kita menghantar pasukan IPD Gombak ke rumah ibadat itu sebelum menjalankan siasatan dan mendapati pihak pengurusan kuil berkenaan telah gagal mematuhi SOP Plan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 iaitu tiada penjarakan fizikal (sesama penganut) di upacara keagamaan yang dijalankan di dalam kawasan premis itu.

“Ekoran kesalahan itu, kita telah mengeluarkan tindakan denda kompaun RM1,000 terhadap pihak pengurusan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Zainal Mohamed, kompaun itu dikenakan di bawah perkara 16, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkitan 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 4 yang telah ditetapkan MKN demi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pertubuhan atau individu yang gagal mematuhi SOP tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette