KUALA LUMPUR – Tindakan secara peribadi yang diambil pelbagai pihak terhadap Tan Sri Azam Baki dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah keterlaluan, kata Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM.
Presidennya, Mazlan Mohamad berkata, kedua-duanya seolah-oleh ‘bersalah’ atas tohmahan yang dilemparkan sehingga boleh mengakibatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi tunggal pencegahan rasuah negara itu terjejas teruk.
Jelasnya, persatuan itu berdiri teguh atas prinsip undang-undang bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh proses undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan awam atau perbicaraan media.
Beliau berkata, persatuan itu juga mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas sistem keadilan jenayah negara ini serta proses perundangan yang menjamin ‘maruah’ individu serta organisasi, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
”Oleh itu, Persatuan ini berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi ke atas isu berkaitan tetapi menanti keputusan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Sekuriti, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, persatuan tersebut yakin kedua-dua institusi berkenaan akan menjalankan siasatan yang bebas, adil dan telus selaras dengan peruntukan perundangan negara dan menggesa agar siasatan diberi keutamaan dan disegerakan.
Lantaran itu, Mazlan memohon agar semua pihak, sama ada yang berkepentingan atau sebaliknya, menyokong penuh terhadap proses undang-undang negara dan bukan atas faktor emosi.
”Persatuan ini juga menyarankan agar semua pihak terus memberi sokongan penuh dan kerjasama kepada satu-satunya institusi pencegahan rasuah negara ini iaitu SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah, agar negara kita bebas dari perkara terkutuk ini serta terus membangun sebagai sebuah negara yang maju, aman dan makmur,” ujarnya. – MalaysiaGazette