Home Nasional 23 ejen judi online cari pelanggan guna media sosial diberkas

23 ejen judi online cari pelanggan guna media sosial diberkas

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan rampasan kes judi online pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar sindiket perjudian dalam talian (online) yang mencari pelanggan menerusi media sosial dengan  tangkapan 23 individu di sini baru-baru ini.

Penahan dibuat dalam dua serbuan di dua kondominium sekitar Persiaran Gurney serta Jalan Kelawai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan 13 individu terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita manakala serbuan kedua pula melibatkan sembilan lelaki serta seorang wanita.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek warga tempatan berusia 19 hingga 31 tahun itu bekerja sebagai ejen yang akan mempromosi pautan judi online kepada pelanggan menerusi media sosial.

Antara platform digunakan termasuk Facebook, WhatsApp dan Telegram.

“Masing-masing suspek yang menerima gaji bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000 itu turut menerima komisen lima peratus sekiranya pelanggan berkenaan kalah dalam judi yang ditawarkan.

“Selain itu, siasatan juga mendapati kesemua mereka bergiat aktif dengan kegiatan terbabit sejak pertengahan Disember tahun lalu.

“Dalam dua serbuan itu, pelbagai barang yang digunakan bagi kegiatan judi online turut dirampas. Antaranya, 85 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 18 buah komputer riba, 49 keping kad sim serta dua buah kereta,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, susulan tangkapan itu pihaknya turut berjaya membongkar modus operasi baharu mereka yang melakukan taruhan dan cabutan sesama sendiri.

“Sindiket ini menawarkan judi nombor ekor dan kita dapati mereka buat cabutan sendiri tanpa melibatkan pihak ketiga.

“Ini judi baharu yang kita kesan dan pihak Kontinjen Pulau Pinang sedang berkongsi maklumat dengan pihak Bukit Aman berhubung perkara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 4 (1)(b) Seksyen, 4(1) (c) dan Seksyen 4(1) (c) akta yang sama. – MalaysiaGazette