Home Politik AMK serah Memorandum Rakyat di Parlimen Khamis depan

AMK serah Memorandum Rakyat di Parlimen Khamis depan

Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan Bangunan Parlimen pada hari persidangan khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, serahan memorandum itu  sebagai referendum kebimbangan rakyat berhubung integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, AMK akan mengadakan konsultasi bersama aktivis, kumpulan masyarakat sivil, NGO, aktivis mahasiswa serta kumpulan pendesak yang lain sebelum menyerahkannya kepada wakil Parlimen.

“Kami mengambil pendirian ini untuk meneruskan desakan sehingga krisis integriti yang berlaku dalam SPRM ditangani dengan lebih serius oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, AMK telah membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini dan setiap negeri bagi menggesa siasatan dijalankan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Kata beliau, ini susulan kontroversi pengakuan Azam mengenai Akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) Saham miliknya tetapi menggunakan wang adiknya untuk pembelian saham dan waran yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Berikutan konvoi bantahan semalam, polis telah memanggil beberapa pemimpin AMK hadir ke IPD Putrajaya esok  untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman, katanya.

Antara yang dipanggil termasuk beliau, Naib Ketua AMK, S.Thiban; Setiausaha AMK, Syukri Razab; dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Kata Akmal, beliau dan beberapa kepimpinan yang dinamakan itu akan memberikan kerjasama penuh kepada polis. – MalaysiaGazette