Home Nasional JAKIM diminta teruskan usaha bantuan pasca banjir – Idris

JAKIM diminta teruskan usaha bantuan pasca banjir – Idris

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan, Sharizan Shahrudin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah kepada warga agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terkesan banjir di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sebagai oenyelaras Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia diminta meneruskan program bantuan pasca banjir di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad mahu pihak JAKIM membantu mangsa banjir di beberapa lokasi yang akan dikenal pasti.

“Ini bagi membantu mereka khususnya warga agensi kita sendiri seperti melaksanakan program pembersihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Kepada Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  yang terkesan bencana banjir di sini hari ini.

Sementara itu, Idris memaklumkan Tabung Musa’adah telah berjaya mengumpul RM10,135,680 sumbangan.

Selain itu, seramai 338 warga agensi di bawah  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini menerima sumbangan RM1,000.

Sumbangan berkenaan melibatkan dana sebanyak RM338,000.

Menurut Idris, sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang menghadapi musibah banjir baru-baru ini.

“Ini menunjukkan saya bersama ketua agensi akan bersama-sama tuan/puan dalam mengharungi kehidupan pasca banjir ini,” katanya.

Jelasnya, daripada jumlah sumbangan berkenaan , sebanyak RM8,555,881.00 telah diagihkan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya.- MalaysiaGazette