KUANTAN – Jenazah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Ubi di sini malam ini.
Allahyarham meninggal dunia pada jam 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Difahamkan keadaan kesihatan Allahyarham merosot sejak kebelakangan ini dan beliau dimasukkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.
Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Februari 1961 meninggalkan seorang balu, Datin Laili Ibrar dan dua orang anak.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota 5.
Terdahulu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail antara yang sempat menziarah kira-kira jam 5.04 petang sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Salah seorang rakan terdekat Allahyarham ketika ditemui MalaysiaGazette di pekarangan hospital, Datuk Abdul Rahman Hassan berkata, Abdul Wahab merupakan seorang pekerja yang sentiasa memberi komitmen terhadap kerja dan majikan.
“Saya bekas rakan sekerja arwah, mengenali arwah dari zaman Tun Khalil, Datuk Seri Adnan Yaakob sehingga Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail.
“Beliau terkenal dengan sifat mentaati majikan dan memberi komitmen sehingga akhir hayat,” katanya.
Abdul Wahab pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Adnan Yaakob dan Tun Mohd Khalil Yaakob juga sebagai Setiausaha Akhbar.
Difahamkan Allahyarham menghidapi penyakit kanser sejak dua tahun lalu.
Takziah buat keluarga Allahyarham. – MalaysiaGazette