Home Utama JKSM ganti hakim dengan pakar perundangan dalam program televisyen – Idris

JKSM ganti hakim dengan pakar perundangan dalam program televisyen – Idris

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (dua kanan) menerima replika cek daripada Pemangku Ketua Pengarah JAKIM, Hakimah Mohd Yusof (kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah kepada warga agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terkesan banjir di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerima teguran secara terbuka yang hakim syariah tidak boleh diebnarkan muncul di mana-mana program stesen televisyen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah program anjuran sebuah televisyen yang telah menjemput salah seorang hakim syariah sebagai panel baru-baru ini.

Idris dalam masa yang sama berkata, pihaknya telah memberi nasihat kepada JKSM agar perkara yang sama tidak berulang.

Jelas beliau, JKSM telah memberi jaminan untuk memanggil pakar-pakar perundangan yang berkaitan untuk menggantikan hakim syariah pada slot akan datang pada program berkenaan.

“Pihak JKSM akan ambil tanggungjawab terhadap teguran itu dan akan perbaiki. Hakim tidak dibenarkan muncul di televisyen.

“Saya nasihatkan tidak berlaku lagi selepas ini. Selepas ini akan oanggil orang yang pakar dalam perundangan untuk membicarakan isu program itu kalau boleh elak panggil hakim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Kepada Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  yang terkesan bencana banjir hari ini.

Program Bicara Fail Syariah anjuran sebuah televisyen dirasmikan oleh Idris dan baru memulakan slot pertama pada Isnin.

Bagaimanapun, kemunculan hakim-hakim syariah dalam program berkenaan dipertikai.-MalaysiaGazette