Home Politik Kemungkinan ada campur tangan politik dalam AGC semasa kerajaan 22 bulan ...

Kemungkinan ada campur tangan politik dalam AGC semasa kerajaan 22 bulan – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Keengganan Tan Sri Tommy Thomas untuk memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh kerajaan menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan 22 bulan.

Pasukan petugas khas itu dibentuk pada 9 Oktober tahun lalu selepas Kabinet bersetuju melakukan siasatan awal sebelum tindakan lanjut diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Penubuhan pasukan itu antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy  mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebenarnya tiada siapa mahu mempertikaikan atau mempersoalkan tentang jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan juga berkenaan Perkara 145(3) mengenai kuasa budi bicara.

Sebaliknya, apa yang rakyat mahu tahu adakah mungkin telah berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Justeru, katanya, Tommy sepatutnya bersikap lebih “gentleman” dan berani mengambil tanggungjawab terhadap kandungan buku memoirnya sendiri.

”Membantu supaya kebenaran terungkai kerana sebagai bekas Peguam Negara beliau sepatutnya lebih memahami “justice” (keadilan) adalah tentang kebenaran.

”Seperti saya pernah katakan negara perlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan menerusi buku tersebut kerana ia melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

”Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Tommy enggan memberi kerjasama dalam siasatan tersebut kerana menegaskan Peguam Negara adalah mengikut perlembagaan.

Menurutnya lagi, siasatan itu boleh memberi risiko kebebasan kepada Pejabat Peguam Negara, lantaran itu beliau perlu melindunginya.

Tommy dilantik menyandang jawatan Peguam Negara pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun, menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali tetapi Tommy meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Tommy menulis buku “My Story: Justice in the Wilderness” selepas beliay bersara. – MalaysiaGazette