Home Nasional Kes tipu tawaran kerja di Melaka meningkat 1,800 peratus

Kes tipu tawaran kerja di Melaka meningkat 1,800 peratus

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

MELAKA – Kes penipuan tawaran kerja tidak wujud di negeri ini meningkat sehingga 1,800 peratus dengan nilai kerugian mencecah RM1.2 juta pada tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, angka itu membabitkan 76 kes penipuan berbanding hanya empat kes pada 2020 dengan nilai kerugian hanya RM79,700.

“Kita percaya peningkatan ini berpunca kesan daripada ramai yang hilang pekerjaan akibat tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kebanyakan mangsa meluangkan masa mencari kerja melalui internet.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan mereka terdedah kepada risiko menjadi mangsa penipuan tawaran kerja ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain penipuan tawaran kerja, angka kerugian akibat penipuan pelaburan tidak wujud juga merekodkan
peningkatan.

“Walaupun kes merekodkan penurunan iaitu iaitu daripada 263 kes pada 2020 kepada 202 kes tahun lalu, nilai kerugiannya masih meningkat sebanyak 125.18 peratus.

“Jumlah kerugian direkodkan adalah sebanyak RM2.86 juta pada 2020 menjadi RM6.48 juta tahun lalu,” katanya.- MalaysiaGazette