KUALA LUMPUR – Pengurangan elaun kepada sebilangan besar atlet daripada RM2,000 kepada RM800 dilihat sebagai satu keputusan ke belakang.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, keputusan terbaru itu bukan sahaja memberikan impak besar kepada atlet masa kini yang berdepan pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19, malah ia turut memberi isyarat buruk kepada anak muda yang mempunyai impian untuk mewakili negara di persada antarabangsa.
Katanya, keputusan itu turut menyebabkan ibu bapa kepada bakal atlet dan atlet muda hari ini berfikir mengenai masa depan anak mereka yang tidak menentu sekiranya memilih jalan menjadi atlet negara.
“Seharusnya elaun yang diberikan mencukupi agar atlet negara dapat memberikan fokus 100 peratus dalam latihan mereka tanpa perlu bekerja sambilan di luar untuk menampung perbelanjaan mereka.
“Misi MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menambah bilangan atlet di peringkat pelapis dan senior, meningkatkan prestasi atlet di peringkat tertinggi dan menggiatkan penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat, bakal kabur sekiranya tiada tindakan segera dilakukan dalam menilai kebajikan atlet sekarang.
“Misi KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pula bagi memacu kemajuan belia dan sukan secara holistik untuk memenuhi aspirasi negara, bakal hilang sinarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, MSN perlu adil dalam menjaga kebajikan atlet-atlet negara terutamanya atlet pelapis dan atlet paralimpik yang bertukus-lumus dalam mengharumkan nama negara.
Ini kerana katanya, kebanyakan atlet tiada pekerjaan tetap di luar kerana memberikan sepenuh tumpuan dan masa dalam misi membawa kejayaan dan mengharumkan nama negara.
“DPIM menggesa MSN dan KBS menilai semula keputusan penstrukturan baharu elaun atlet dengan alasan peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.
“Penjelasan lanjut perlu dikemukakan bersama bukti yang lebih kukuh kerana berdasarkan laporan Belanjawan 2022, belanja mengurus KBS (Operating Expenditure OPEX) meningkat daripada RM 614 Juta (2021) kepada RM 622 Juta (2022).
“Belanja pembangunan KBS (Capital Expenditure CAPEX) turut meningkat daripada RM326 juta (2021) kepada RM330 juta (2022).
“Secara khususnya, belanjawan MSN turut meningkat daripada RM14 Juta (2021) kepada RM 18.36 Juta (2022). Kenapa peningkatan belanjawan MSN memberikan impak berkurangan kepada elaun atlet negara?” katanya.
Pada Rabu lalu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengumumkan penyelarasan semula elaun dilakukan susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain bencana alam melanda negara baru-baru ini.
Ia menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.
Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa), manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa). – MalaysiaGazette