Home Nasional Lambakan kayu hanyut, jabatan hutan negeri diarah beri kerjasama – Takiyuddin

Lambakan kayu hanyut, jabatan hutan negeri diarah beri kerjasama – Takiyuddin

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Semua Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam usahanya mengenalpasti kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini, yang dikatakan sebagai tindakan serta merta kementerian itu terhadap laporan berlaku lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa negeri berikutan hujan lebat dan banjir baru-baru ini.

Pada masa ini, JPSM telah menggunapakai aplikasi sistem jarak jauh pemantauan hutan termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara real time.

Menurut Takiyuddin, beliau juga telah mengarahkan JPSM mengemukakan laporan itu serta langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

“Saya minta JPSM mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera.

“Ini bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Ini katanya, merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih sejak tahun 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) 2012.

Daripada aspek penyelarasan dasar antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, Takiyuddin berkata, Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara (MTN).

“Susulan itu, Mesyuarat MTN ke-79 pada 2 Disember lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri telah mengambil pendirian tegas berhubung dua perkara penting ini.

“Ia berkenaan kelestarian sumber asli negara iaitu pelaksanaan moratorium ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 15 tahun serta pelaksanaan penguatkuasaan.

“Selain itu, penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam HSK di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022,” katanya. – MalaysiaGazette