
KUALA LUMPUR – Jumlah pendapatan pelaburan kasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021 meningkat 7.7% tahun kepada RM48.02 bilion berbanding RM44.6 bilion tahun sebelumnya.
Dalam kenyataannya, KWSP berkata, pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2021 (suku ketiga 2021) mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku tahun yang sama 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pasaran ekuiti domestik dan pasaran baru muncul dalam suku tahun ketiga 2021 adalah tidak menentu, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kerisauan sekitar peningkatan kadar inflasi dan faedah.
Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi membangun di sebalik suasana yang tidak menentu telah menyediakan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan.
Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 54% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada RM7.50 bilion.
Sebagai sebahagian daripada polisi dalaman dan langkah berhemah bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM0.11 bilion turun nilai kos untuk ekuiti tersenarai telah dicatatkan dalam suku tahun ketiga berbanding RM0.13 bilion pada suku tahun sama pada tahun lepas.
Setelah mengambil kira turun nilai kos, sebanyak RM13.86 bilion pendapatan pelaburan bersih telah direkodkan pada suku ketiga 2021.
Secara kumulatif, sebanyak RM0.35 bilion telah diturun nilai untuk ekuiti tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020, di sebalik pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global, seterusnya menjadikan pendapatan pelaburan bersih RM47.67 bilion pada sembilan bulan 2021 berbanding RM38.14 bilion untuk tempoh sama tahun 2020.
KWSP berkata, pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5.00 bilion, atau 36% kepada pendapatan pelaburan kasar semasa suku ketiga 2021, iaitu lebih rendah berbanding RM8.18 bilion yang dijana pada suku ketiga 2020, berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah.
Ini adalah selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Amir menambah, tekanan inflasi yang berterusan dan peralihan agresif daripada bank pusat telah mendorong peningkatan hasil dalam suku tahun ketiga, lanjutan daripada jangkaan bahawa dasar monetari akan diketatkan.
Suasana kenaikan kadar pulangan bon bukan sahaja telah memberi impak kepada pasaran bon, ia juga telah memberi kesan ke atas ekuiti.
Hartanah dan infrastruktur, serta instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM1.18 bilion dan RM0.29 bilion.
Setakat September 2021, aset pelaburan KWSP adalah pada RM988.55 bilion, yang mana 36% telah dilaburkan ke dalam pelaburan luar negara.
Kepelbagaian KWSP ke dalam kelas aset, pasaran dan mata wang yang berlainan, terus memberikan kestabilan pendapatan dan menambah nilai kepada keseluruhan pendapatan KWSP.
Pada suku ketiga 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.10 bilion, yang merangkumi 58% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.
Sejumlah RM1.40 bilion daripada RM13.97 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk simpanan shariah, dan RM12.57 bilion untuk simpanan konvensional.
Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya hanya daripada bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan untuk simpanan konvensional adalah daripada kedua-dua portfolio syariah dan konvensional. – MalaysiaGazette