KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan varian Omicron di negara ini.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaliknya kerajaan akan mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk ke negara ini.
“Kerajaan tidak menolak untuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.
“Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan PKP secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Kuartet dengan memberi tumpuan terhadap perkembangan terkini situasi penularan Covid-19 dalam negara khususnya varian Omicron.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Dalam pada itu, Hishammuddin tidak menafikan kebanyakan penularan Covid-19 varian Omicron berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.
“Setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia. Sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara khususnya jemaah umrah.
“Ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pemantauan rapi dan sentiasa mengambil kira laporan semasa dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) serta negara-negara yang terkesan dengan penularan varian ini,” katanya. – MalaysiaGazette