Home Nasional Permohonan BWI Pahang dilanjutkan hingga 17 Januari

Permohonan BWI Pahang dilanjutkan hingga 17 Januari

Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak

KUANTAN – Mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini masih boleh buat permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) selewat-lewatnya 17 Januari 2022.

Setiausaha Kersajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran memandangkan masih terdapat mangsa yang belum mendaftar.

“Walaupun tarikh akhir pendaftaran telah berakhir pada 7 Januari 2022, tetapi tempoh pendaftaran telah dilanjutkan sehingga 17 Januari 2022.

“Bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS, Pejabat Daerah dan Tanah s(PDT) sedang mengemas kini maklumat tersebut dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 17 Januari 2022,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, borang permohonan mangsa tidak berpindah boleh diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tambah Sallehuddin, pembayaran pertama untuk mangsa yang tidak berpindah ke PPS dijangkakan boleh dibuat bermula 24 Januari 2022.

Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan BWI sebanyak RM1,000 dan kerajaan negeri turut mengumumkan BWI sebanyak RM500 bagi semua mangsa banjir di negeri ini.

Peruntukan ini disalurkan oleh pihak Agensi pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada kerajaan negeri manakala pembayaran dibuat oleh PDT kepada mangsa banjir yang telah berpindah ke PPS atau yang tidak berpindah ke PPS.

Sehingga 10 Januari 2022, sebanyak 19,053 ketua isi rumah (KIR) dikenalpasti  berpindah ke PPS semasa gelombang pertama dan kedua.

PDT pula telah mengagihkan peruntukkan sebanyak RM26,250,000 meliputi 17,310 KIR.

Baki sebanyak 1,743 KIR akan dibuat pembayaran selewat-lewatnya pada 14 Januari 2022. – MalaysiaGazette