Home Nasional Sijil vaksin palsu: Saya tak boleh maafkan – Hishammuddin

Sijil vaksin palsu: Saya tak boleh maafkan – Hishammuddin

Hishammuddin Hussein Covid-19 positive
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh menerima tindakan segelintir individu yang terlibat dengan penipuan sijil vaksinasi dipercayai palsu, apatah lagi ia membabitkan seorang pengamal perubatan bergelar doktor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka yang terbabit bukan sahaja perlu disiasat malah sewajarkan dikenakan tindakan lebih tegas bagi melindungi rakyat.

“Sebab itu saya harap bahawa pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat tetapi mengambil tindakan yang cukup tinggi terhadap mereka yang telahpun (suspek).

“Ini merupakan sesuatu yang susah saya nak terima dan boleh maafkan kerana ini boleh membawa dan menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka yang tidak berdosa.

“Ada had dalam mereka meraih keuntungan dengan membuat duit dengan merisikokan nyawa orang lain,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Semalam, enam individu termasuk seorang juruteknik ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi dipercayai palsu didalangi seorang doktor antivaksin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua mereka yang berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan pada Ahad, namun dibebaskan dengan jaminan semalam.

Kesemua individu yang ditahan itu dipercayai membantu suspek mencari pelanggan dengan menghebahkan kepada orang ramai berkaitan sijil vaksinasi tersebut.

Hishammuddin menyifatkan perbuatan itu serius dan sekiranya dakwaan tersebut berasas, beliau membayangkan segala usaha kerajaan selama ini untuk mengekang penularan Covid-19 hanya sia-sia sahaja.

“Saya melihat perkara ini serius. Sekiranya apa yang didakwa itu benar, tidak ada makna kita memikirkan secara terperinci SOP-SOP (prosedur operasi standard) yang telah pun diumumkan.

“Kalau sijil vaksinasi boleh dipalsukan, ujian saringan boleh dipalsukan, ini akan menjejaskan usaha kita untuk memastikan pembukaan (sempadan) secara selamat,” katanya.

Hishammuddin tidak menafikan jenayah itu sukar dihalang kerana penjenayah akan sentiasa mencari jalan untuk memalsukan sijil vaksinasi untuk meraih keuntungan.

“Kalau nak buat duit, apa sistem yang ada pun, mereka cuba mencari jalan untuk bertindak.

“Kita kena selangkah ke hadapan daripada mereka, kita mesti ada pencegahan, mereka yang salah itu tetap salah, mesti dihukum dengan hukuman yang paling tinggi.

“Nak kata kita dapat tutup ruang ini, bukan sahaja berlaku di negara kita, saya percaya di negara-negara di sana pun perkara-perkara ini berlaku.

“Asalkan kita dapat tahu bahawa ianya menular, jangan biar ia merebak, ambil tindakan secepat mungkin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette