Home Utama Ada mangsa banjir reda, tak mohon bantuan

Ada mangsa banjir reda, tak mohon bantuan

Officers handing out Bantuan Wang Ihsan (BWI) cash aid, Bantuan Selangor Bangkit to the flood victims at Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 12 JANUARY 2022
Officers handing out Bantuan Wang Ihsan (BWI) cash aid, Bantuan Selangor Bangkit to the flood victims at Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 12 JANUARY 2022. Pegawai menghulurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

PULAU INDAH – Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mendedahkan terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan memohon bantuan banjir sedangkan mereka tidak terjejas pun ketika bencana itu berlaku sejak 17 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah Klang baru-baru ini yang menerima borang-borang permohonan bantuan banjir itu yang mencurigakan.

“Ada pemohon (bantuan banjir) yang mengambil kesempatan di mana borangnya diisi tidak lengkap dan ada borang-borang yang meragukan.

“Melalui semakan dan maklum balas yang saya terima daripada Pejabat Daerah Klang, ada permohonan-permohonan (bantuan banjir) meragukan.

“Namun pejabat daerah terus membuat semakan supaya kita memastikan mangsa-mangsa banjir yang betul-betul terkena banjir menerima bantuan ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Nipah, di sini, hari ini.

ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri bercakap pada media ketika Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM2,000 kepada 1,500 ketua keluarga di sini yang terjejas dalam bencana banjir sejak 17 Disember tahun lalu.

Azmizam juga mengingatkan mana-mana pihak agar lebih bertanggungjawab dalam membuat tuntutan bantuan banjir daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

“Jangan kita ambil hak orang lain, kalau kita tak kena banjir, kita bukan sebahagian daripada mangsa-mangsa banjir, jangan kita ambil hak mangsa banjir lain.

“Sebab peruntukan ini disediakan khas untuk mangsa banjir tempoh hari. Janganlah ada pihak yang mana air cuma naik dekat laman rumah sikit sahaja, itu pun nak tuntut buat permohonan bantuan, tak adil laa kan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Azmizam mendedahkan ada juga segelintir mangsa banjir yang enggan mengemukakan bantuan bencana itu dengan alasan sukar untuk mendapat bantuan kerajaan itu.

Mangsa banjir yanghadir untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

”Saya harap penduduk di DUN Pelabuhan Klang ambil bantuan bencana ini bagi meringankan beban kewangan masing-masing kesan banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Ada di antara kawan-kawan kita mangsa banjir ini kena lebih teruk dan ada juga yang macam reda tak mohon pun ada, tapi saya masih lagi memujuk mereka untuk mohon.

“Sebab mereka kata mohon pun bukannya boleh dapat, mohon pun belum tentu dapat, sebab itu kita buat program-program macam ini pada hari ini untuk memudahkan,” katanya.

Malah katanya lagi, beliau sendiri bercadang untuk membuka lebih banyak pusat penyerahan bantuan itu bagi memudahkan mangsa banjir mengambil dana yang disediakan oleh kerajaan itu.

“Seperti penduduk Pulau Indah, dia jauh nak pergi ke Pejabat Daerah Klang lebih 30 kilometer jauh dan selalu mengalami kesesakan jalan raya di Lebuhraya Pulau Indah.

“Begitu juga Telok Gong jauh dan sesak nak pergi ke pejabat daerah, orang datang bukan nak ambil duit dan hantar permohonan BSB dan BWI, tapi mohon bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah kalau ada keperluan mungkin pejabat saya akan berbincang dengan pegawai daerah untuk membuka pusat sumbangan ini di kawasan Telok Gong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette