KUALA LUMPUR – Saranan dan gesaan pelbagai pihak bagi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) terlebih dahulu sebelum diberikan kepada pekerja warga asing mendapat perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Malah kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, KSM agak positif dan terbuka dengan saranan dikemukakan pihaknya baru-baru ini.
Mendedahkan pertemuan antara MHO, Semboyan dan KSM, kata Hishamuddin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sendiri hadir mendengar segala isu diketengahkan pihaknya.
“Menteri agak positif, dalam perbicangan dua hala antara MHO, Semboyan dan KSM, semua pihak yang hadir memberikan maklumbalas cukup baik.
“KSM ambil maklum kebimbangan rakyat tempatan yang masih lagi tidak mendapat tempat pekerjaan dan telah bersetuju peluang pekerjaan perlu dan akan diutamakan kepada rakyat tempatan.
“Warga stateless juga akan diberikan perhatian di dalam isu pekerjaan ini, selama ini MHO lantang dalam perjuangkan golongan stateless yang sudah lama menetap di sini tanpa kerakyatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Hishammuddin, KSM juga mendedahkan sektor ekonomi, ketika ini negara mengalami kerugian berbilion ringgit akibat kekurangan tenaga kerja di dalam sektor perladangan.
Menurutnya, hasil produktiviti terkesan akibat kekurangan tenaga kerja ini malah ada 200,000 kekosongan pekerjaan di portal MyFuture Jobs yang masih lagi tidak diisi.
“Kita juga di beritahu tidak ada lagi sistem orang tengah atau ejen dalam proses membawa masuk pekerja asing terutamanya daripada Bangladesh. Sistem APS sedia ada tidak lagi membenarkan ejen sebagai majikan membayar gaji kepada pekerja asing sebaliknya akan bertanggungjawab,” katanya.
Kata Hishamuddin lagi, dalam perbicangan itu juga pihaknya dimaklumkan penguatkuasaan Akta 446 juga akan lebih diperketatkan bagi memastikan hak-hak pekerja asing di Malaysia terbela.
“Kita juga gembira dan lega apabila di maklumkan proses penambaikan proses rekalibrasi juga akan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh bagi mendapatkan data pekerja asing di Malaysia dengan lebih tepat.
“Pihak kementerian juga telah pada peringkat akhir bagi mengemukakan tangga gaji minima yang baru bagi pekerja-pekerja Malaysia,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, katanya, MHO dan juga Semboyan rasa berbesar hati atas kesudian pihak KSM khususnya menterinya yang sudi untuk mendengar gesaan yang telah dikemukakan pihaknya. – MalaysiaGazette