Home Nasional PH gesa siasatan bebas, mahu Abu Zahar, Borhan, Azam direhatkan

PH gesa siasatan bebas, mahu Abu Zahar, Borhan, Azam direhatkan

MPPH berpendirian perlu tubuhan badan bebas siasat Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak boleh menjalankan siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya agensi penguatkuasaan itu kerana dikhuatiri wujud ketidakadilan.

Sebaliknya, Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mahu satu badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM ditubuhkan bagi menyiasat secara menyeluruh kes pembelian saham oleh Tan Sri Azam Baki.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah dan Azam direhatkan sehingga siasatan selesai.

“Kedua mereka ini perlu direhatkan kerana enggan bertindak menyiasat sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan perdagangan berjuta-juta saham dan waran,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kenyataan itu turut ditandatangani rakan gabungan PH, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Menurut Anwar, pihaknya meneliti kenyataan media enam Ahli LPPR yang telah menjauhkan diri dari kenyataan Abu Zahar, yang dikatakan cuba membersihkan nama Azam.

Katanya, kenyataan itu amat mengejutkan dan membuka mata kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jelas, SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri, dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, kenyataan enam Ahli LPPR itu juga menjadi bukti kukuh Abu Zahar sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai oleh mereka.

Kata Anwar, perlu ada pimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula.

Dalam pada itu, MPPH turut memandang serius dan menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Azam serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’.

“Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong ‘bos’ mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik, bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Kalau begitu, suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) taktala sedang menyiasat perdagangan saham secara proksi oleh Azam, di mana ramai telahpun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya,” katanya.

Oleh itu, Anwar menggesa pegawai kanan berkenaan membuat laporan dan biarkan polis menyiasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional, sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau.

“Kami mengulangi pendirian, satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari ini,” katanya. – MalaysiaGazette