KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya yang memotong elaun manakala Majlis Sukan Negara (MSN) pula menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyifatkan perkara yang berlaku ini amat mengejutkan dan khuatir akan mendatangkan impak negatif amat mendalam ke atas program pembangunan atlet dan bidang sukan negara dalam jangka panjang.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang memandang serius tindakan ini berkata, alasan bajet yang diterima dikurangkan kerana kerajaan memberi keutamaan kepada pasca Covid-19 dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri tidak dapat diterima sama sekali, jika Malaysia benar-benar mahu memberi tumpuan ke atas pelan pembangunan atlet.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mempersoalkan adakah Menteri Belia dan Sukan sedar dengan kemelut yang berlaku sekarang bukan sahaja telah menjejaskan reputasi atlet, tetapi juga imej KBS yang diberikan amanah untuk membangunkan barisan atlet yang merupakan aset kepada negara.
”Adakah Kementerian Belia dan Sukan sudah hilang keutamaan fungsi?,” soal beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Oleh itu, katanya, KBS dan kesemua agensi sukan di bawah kementerian itu perlu segera mengembalikan kadar elaun yang diberikan sebelum ini.
Menurut beliau, KBS perlu sedar walaupun atlet menerima elaun semata-mata, tempoh mereka berada dalam tempoh latihan merupakan satu bentuk kerjaya yang perlu dilayan dan dijaga serta diberi perhatian dengan penuh hormat dan bermaruah.
Pemotongan elaun dan tindakan menggugurkan atlet tidak wajar dan bukan satu tindakan berintegriti.
“KBS perlu mengkaji keputusan mereka untuk memotong dan menggugurkan atelt-atlet atas alasan ketidakcukupan dana,” tambahnya.
Mohamed Shafie turut mendakwa fokus dan strategi KBS pada masa sekarang sudah tersasar dan oleh itu, UNI-MLC mahu kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi arahan tegas agar kementerian ini mengkaji semula tindakan yang dilakukan.
Jelasnya, kepimpinan Ismail Sabri perlu meletakkan kembali keutamaan pembangunan bidang sukan di tempat yang betul dan tidak wajar bercanggah dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan tahun lalu.
”Sebagai badan pekerja, UNI-MLC mendapati pemotongan elaun akan menyebabkan imbuhan yang diterima lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri dan kini kedudukan mereka adalah dalam kumpulan B40. Apakah Kementerian Belia dan Sukan sedar akan perkara ini?
”Kita tidak mahu Kementerian Belia dan Sukan yang diamanahkan untuk menaikkan prestasi dan mutu sukan menjadi punca kepada kemerosotan dan merudumnya bidang sukan disebabkan oleh tindakan penyelesaian singkat dengan memotong elaun dan menggugurkan atlet, yang secara langsung telah menjejaskan motivasi dan semangat rakyat untuk menyertai sukan.
”Kementerian Belia dan Sukan perlu serius jika benar-benar mahu menaikkan imej, kualiti dan prestasi sukan,” teganya. – MalaysiaGazette