Home Sukan Daripada potong elaun atlet, baik potong gaji kakitangan MSN

Daripada potong elaun atlet, baik potong gaji kakitangan MSN

Antara pingat yang berjaya dirangkul oleh bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri sehingga mengharumkan nama Malaysia dalam acara merejam lembing ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu pemotongan elaun sebagaimana diketahui umum menunjukkan Majlis Sukan Negara (MSN) mempunyai kurang sifat prihatin terhadap kebajikan atlet.

Malah, keputusan drastik yang dibuat untuk menggugurkan atlet daripada program kebangsaan mengejutkan banyak pihak yang terlibat dengan pembangunan sukan negara, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak, Mohammad Amirul Saharuddin.

Beliau berkata, tidak dinafikan tindakan MSN untuk membangunkan pelapis umpama ‘sudah terjaga dari tidur’ dan wajar dipuji kerana mereka sudah lama dianak tirikan, namun pada masa sama majlis tersebut sedang mengkaramkan atlet elit.

“Tidak perlu saya ingatkan MSN bahawa atlet juga manusia seperti kita…ada keluarga, anak dan isteri.

“Sepatutnya MSN perlu pertimbangkan untuk menaikkan elaun atlet yang memenangi pingat di peringkat Asia Tenggara dari RM2,000 ke RM3,000 bagi pingat emas dan RM2,000 untuk pingat perak manakala RM1000 untuk gangsa berbanding RM800 sebulan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohammad Amirul berkata, daripada memotong elaun atlet yang mengerah keringat berlatih di bawah panas terik matahari untuk menaikkan nama negara adalah lebih baik memotong gaji kakitangan MSN yang mendapat puluhan ribu ringgit sebulan dengan hanya duduk dalam bilik berhawa dingin.

“Sebab kita sekarang bercakap tentang sektor sukan. Yang berjuang adalah atlet, bukan pengarah,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan, jika benar MSN mahu memberi tumpuan kepada atlet pelapis, kata-kata mesti selari dengan tindakan.

Ini kerana katanya, sebelum ini akhbar melaporkan MSN sebagai berkata, atlet pelapis paralimpik yang akan bertanding di kejohanan remaja Asia pada Disember lalu tidak dapat menggunakan fasiliti Majlis Sukan Negara untuk berlatih.

Alasan yang diberikan juga tidak masuk akal kerana atlet paralimpik juga adalah atlet pelapis dan mengapa perlu ada double standard, ujarnya.

“Jadi, di mana kebenarannya apabila pihak MSN potong elaun atlet elit bagi ingin menumpukan pembangunan pelapis.

“Jika benar Majlis Sukan Negara mahu tumpu sektor pelapis, saya ingin bertanya, apa sudah jadi pada program pelapis seperti Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPTN) dan program SERANTAU?” soalnya. – MalaysiaGazette