Home Pendapat Jahatkah Harimau Malaya, dibenci dan dibunuh hingga hampir pupus?

Jahatkah Harimau Malaya, dibenci dan dibunuh hingga hampir pupus?

Gambar Hiasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2021.

HARIMAU Malaya – suatu nama yang cukup mengerunkan. Jangankan kelibat, bau hamisnya sudah cukup menaikkan bulu roma apatah lagi kalau terserempak secara berdepan.

Adakah kerana kegerunan yang ditimbulkan menjadi penyebab terhadap kepupusannya sehingga diletakkan dalam senarai spesis terancam?  Ketika ini haiwan yang menjadi simbol pada Jata Negara berjumlah kurang daripada 150 ekor.

Harimau Malaya yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia diramalkan lenyap antara 5 hingga 10 tahun lagi. Berapa banyak nyawa manusia yang telah raja rimba ini rangut sehingga dibenci, diburu dan dibunuh sehingga hampir pupus?

Harimau Malaya haiwan pembunuh?

Ketika artikel ini ditulis, pertembungan antara harimau dan manusia dilaporkan berlaku di beberapa tempat.

Terbaharu pada 7 Januari lalu seekor spesis itu ditembak mati di Kampung Sau, Pos Bihai, Kelantan selepas membaham seorang penduduk Orang Asli sehingga maut.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan terpaksa melepaskan tembakan apabila harimau itu meluru ke arah pasukan berkenaan semasa proses tangkapan dijalankan.

Haiwan malang itu adalah antara tiga ekor Harimau Malaya yang dilaporkan berlegar-legar di kawasan penempatan manusia sejak beberapa minggu lalu hingga menakutkan penduduk sekitar.

Konflik yang tidak dapat dielakkan

Konflik antara haiwan liar seperti harimau dan gajah dengan manusia semenangnya tidak dapat dielakkan sejak dari dahulu.

Dr. Lim Teck Wyn – Foto media sosial

Pensyarah Adjung Fakulti Geografi, Ekologi Perhutanan, University of Nottingham Malaysia, Dr. Lim Teck Wyn berkata, jika menoleh ke belakang kira-kira 100 tahun yang lalu, Kuala Lumpur yang kini merupakan kota metropolitan turut mencatatkan ancaman haiwan liar termasuk harimau.

“Begitu juga dengan Singapura 100 tahun dahulu yang pernah melaporkan kejadian harimau membunuh peladang. Ini menjadi isu besar pada waktu itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pertembungan antara manusia dan haiwan liar berlaku apabila haiwan terpaksa berkongsi kawasan dengan manusia. Konflik ini masih berlaku namun hanya terjadi di kawasan pinggir hutan.

Bagaimanapun konflik haiwan-manusia menjadi semakin buruk disebabkan berlakunya pertambahan bilangan penduduk dan pada masa yang sama saiz hutan menyusut kerana ditebang bagi pembinaan penempatan dan kegiatan ekonomi manusia.

“Kita masih membuka kawasan hutan untuk pembangunan seperti ladang sawit, ladang getah dan sebagainya.

“Kita musnahkan banyak kawasan hutan yang menjadi habitat raja rimba. Jika kita hapuskan tempat habitat mereka, maka haiwan ini tiada pilihan selain terpaksa berkongsi kawasan dengan manusia.

“Dengan kata lain, harimau telah dipaksa untuk tinggal bersama manusia disebabkan kemusnahan hutan,” jelas aktivis alam sekitar itu.

Gelagat seekor harimau belang selepas kerajaan membenarkan aktiviti di dalam sektor perlancongan bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2021.

Ketakutan yang tidak berasas, manusia bukan makanan harimau

Kebencian dan ketakutan manusia terhadap harimau adalah kerana bimbang dicederakan dan menjadi menu kepada raja rimba itu.

Shah Redza Hussein

Sedangkan menurut Shah Redza Hussein, iaitu penerima anugerah berprestij antarabangsa Dr. Rimington Globle pada 2020 – anugerah yang diberikan kepada aktivis cemerlang yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan harimau, manusia bukan makanan haiwan perkasa itu.

“Harimau tidak makan manusia dan manusia bukan mangsa buruan. Harimau lagi takut kepada manusia dan jika haiwan ini terbau manusia dan dengar suara manusia, harimau akan pergi jauh,” tegasnya.

Katanya, terdapat beberapa faktor manusia menjadi mangsa serangan harimau dan mengapa haiwan liar itu berada berhampiran penempatan manusia.

Faktor pertama adalah kerana haiwan berkenaan cedera. Haiwan liar yang  cedera tidak boleh bergerak aktif untuk mengejar mangsa terutama di dalam hutan tropika seperti Malaysia.

“Kita bukan ada hutan savana seperti Afrika yang harimau boleh nampak mangsa dan kejar. Tidak. Hutan tropika untuk harimau tangkap mangsa adalah susah disebabkan pokok yang tebal.

“Kalau harimau cedera, dia tidak ada pilihan. Bukan makanan pun harimau terpaksa makan. Seperti manusia juga kalau lapar dan darurat akan makan apa sahaja termasuk daging manusia. Harimau serang sebab dia tidak ada pilihan,” terang beliau.

Faktor lain adalah kerana manusia memperkenalkan makanan kepada haiwan liar. Manusia meneroka hutan yang menjadi habitat haiwan liar untuk dijadikan penempatan. Kemudian mereka menternak lembu dan kambing.

Rakaman gambar menujukkan seekor Harimau Malaya melintasi laluan hutan tropika dalam negara. Foto : Ihsan KP Perhilitan

Sekali harimau ini nampak haiwan-haiwan ternakan tersebut, haiwan liar itu akan rasa mudah untuk dapat makanan dan akan kekal di kawasan berkenaan.

Tambah Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak itu, tabiat memberi makanan kepada haiwan liar juga menjadi sebab mengapa haiwan terbabit akan kekal berada dalam persekitaran manusia.

Shah Redza memberitahu, beberapa bulan sebelum kemunculan harimau di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini, terdapat video di media sosial yang menunjukkan manusia terserempak dengan dua ekor harimau yang kelihatan kurus.

Disebabkan rasa kasihan, terdengar suara dalam video itu menyarankan agar mereka memberikan ayam kepada harimau tersebut.

“Saya tidak tahu adakah ia harimau yang sama atau lain. Tapi ini adalah satu sebab mengapa harimau datang ke kawasan manusia. Kemungkinan haiwan itu lalu sahaja dan akan pergi kerana harimau melihat manusia sebagai ancaman.

“Tetapi kalau kita beri makanan kepada mereka. Kita telah tukar tabiat daripada susah memburu kepada senang dapat makan. Jadi kalau kita buat begitu, kita bukan tolong mereka.

“Harimau kurus ke, lapar ke, kita tidak boleh beri makanan kepada haiwan liar. Sebab kalau kita beri dan haiwan rasa senang dapat makanan. Dia akan datang balik,” terang Shah Redza.

Faktor lain adalah disebabkan harimau tersebut dikepung dan mempunyai anak. Mereka akan rasa terancam dan akan menyerang manusia yang mendatangkan ancaman.

Fakta dan angka buktikan harimau bukan ancaman manusia

Adalah tidak benar serangan harimau ke atas manusia semakin meningkat. Malah tidak benar bahawa harimau adalah haiwan pembunuh manusia.

Dalam jawapan kepada Malaysia Gazette, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara menyatakan dalam tempoh 12 tahun sejak 2010 hanya berlaku lima serangan harimau ke atas manusia yang menyebabkan kecederaan dan daripada jumlah itu hanya satu kes menyebabkan kematian.

Tiga serangan berlaku di Perak iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2012. Sementara dua lagi kes berlaku di Kelantan iaitu pada tahun lalu dan tahun ini yang membawa kematian. Kesemua mangsa adalah lelaki.

Jika Harimau Malaya bukan ancaman manusia, apakah faktor yang membawa spesis ini masuk dalam senarai haiwan terancam dan hampir pupus? Ikuti bahagian kedua.

Rencana ini adalah bahagian pertama daripada tiga bahagian mengenai kepupusan dan usaha pemuliharaan Harimau Malaya.