Home Nasional Mahkamah arah Asheeq fail pembelaan terhadap saman fitnah Hilman

Mahkamah arah Asheeq fail pembelaan terhadap saman fitnah Hilman

Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Peguam mewakili seorang wanita yang mendakwa dirogol seorang wakil rakyat telah diarah memfailkan kenyataan pembelaan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam berkenaan, Asheeq Ali Sethi Alivi berdepan dengan saman fitnah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak, Muhammad Hilman Idham baru-baru ini.

Saman fitnah difailkan terhadap Asheeq selepas beliau mendakwa anak guamnya telah dirogol dua lelaki, yang dikaitkan Muhammad Hilman, pada 11 Ogos tahun lepas.

Perkara itu yang disahkan peguam mewakili Asheeq, Ramkarpal Singh yang menyatakan keputusan tersebut diputuskan mahkamah ketika pengurusan kes dilakukan menerusi kaedah atas talian.

Kata Ramkarpal, Asheeq telah diperintah untuk memfail kenyataan pembelaan sebelum 20 Januari ini.

“Pengurusan kes berikut pada 20 Januari juga,” katanya.

Dalam penyataan tuntutan, Muhammad Hilman mendakwa Asheeq membuat kenyataan berbaur fitnah apabila mengaitkannya dengan kes rogol berkenaan pada sidang media yang diadakan itu.

Menurut beliau, kenyataan tersebut membawa maksud plaintif (Hilman) terbabit dalam dakwaan rogol terhadap seorang wanita.

“Defendan dengan sengaja dan/atau berniat jahat cuba memfitnah dan/atau mencemarkan, menjatuhkan dan merendahkan imej dan reputasi plaintif,” dakwanya.

Hilman menambah, pasukan peguamnya dari Hafiz Ruzaini & Co telah menghantar surat tuntutan kepada Asheeq pada 13 Ogos lalu supaya menarik balik kenyataan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan aku janji.

Bagaimanapun katanya, ia tidak diendahkan Asheeq.

Beliau menuntut ganti rugi dan perintah supaya Asheeq diarahkan membuat permohonan maaf. – MalaysiaGazette