Home Nasional MAINJ peruntuk RM3 juta bantu mangsa banjir Johor

MAINJ peruntuk RM3 juta bantu mangsa banjir Johor

Tosrin Jarvanthi melancarkan Misi Bantuan Pasca Banjir "Kami Bantu Banjir Johor" ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar, di Johor Bahru, Johor

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM3 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, daripada jumlah itu, Pejabat Daerah Segamat menerima RM305,000 diikuti Pejabat Daerah Tangkak (RM268,500) dan Pejabat Daerah Muar pula sebanyak (RM168,500).

Jelas beliau, peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih enam buah masjid yang terjejas teruk iaitu tiga buah masjid di Segamat, Tangkak (dua) dan Muar (satu).

“Sumbangan atau bantuan yang disalurkan ini kita sampaikan dalam bentuk wang tunai dan juga barangan.

“Saya yakin peruntukan yang diberikan ini juga sudah pasti dan mampu membantu mereka yang terjejas banjir dan ianya juga turut memberi manfaat seramai 500 hingga 800 mangsa banjir yang terkesan.

“Ini juga merupakan bantuan awalan. Sekiranya jumlah ini tidak mencukupi, MAINJ akan memberikan peruntukan tambahan untuk membantu lebih ramai mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir “Kami Bantu Banjir Johor” ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Seramai 200 orang terdiri daripada kakitangan MAINJ yang melibatkan Briged Ansar dan kakitangan JAIJ meliputi Briged Aswaja bergerak ke Segamat pada hari ini.

Sebelum ini, Briged Ansar dan Briged Aswaja turut terlibat dalam misi bantuan banjir di Batu Pahat serta di Pekan dan Mentakab, Pahang.

Selain itu, Masjid Liang Batu dan Sekolah Agama Liang Batu di Muar yang terjejas akibat banjir masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM30,000 dan RM20,000.

MAINJ juga turut menawarkan bantuan kerosakan rumah, harta benda dan bantuan persekolahan anak-anak yang terjejas akibat banjir.

Mangsa terjejas juga difahamkan layak menerima bantuan minimum RM5,000, bergantung kepada jenis kerosakan yang dialami akibat bencana berkenaan. – MalaysiaGazette