KUALA LUMPUR – Isu kekurangan minyak masak bersubsidi terus meruncing di sekitar Lembah Klang menyebabkan peruncit dan pengguna dibelenggu keresahan untuk mendapatkan bekalannya.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Gombak dan Setiawangsa mendapati penjualan minyak masak paket itu dihadkan pembeliannya sebanyak satu hingga tiga paket untuk setiap sekeluarga.
Ada pula rak yang menempatkan minyak tersebut kosong kerana peniaga sukar mendapat bekalan.
Kekurangan bekalan minyak ini ternyata menyukarkan golongan peniaga kecil makanan kerana mereka terpaksa membeli minyak botol besar pada harga yang berkali-kali ganda mahalnya.
Sepekat minyak masak bersubdidi seberat satu kilogram hanya berharga RM2.50 tetapi harga untuk 5 kilogram pula antara RM28.90 hingga RM29.90.
Peniaga kedai makan, Wan Maznah Mohammad, 58, berkata, kekurangan bekalan minyak masak paket ini membebankannya, apabila hanya dapat membelinya pada kuantiti terhad antara satu hingga tiga paket bagi setiap keluarga.
Sedangkan, untuk keperluan berniaga, dia perlukan lebih lima hingga enam kilogram (kg) setiap hari.
“Memang susahlah saya nak dapatkan minyak masak paket ini, sebab saya meniagakan. Kalau hendak cari minyak masak semua tempat banyak tiada stok, saya tidak tahu nak cakap macam mana lagi. Kadang-kadang, dia bagi satu paket sahaja untuk beli, paling banyak pun tiga paket.
“Menyusahkan sebab kita berniaga hari-hari, sampai terpaksa pakai minyak botol besar untuk goreng ayam, nasi goreng dan macam-macam lagi. Kalau keadaan terpaksa, kita pakai lima botol kecik sehari, tapi itupun masih tidak cukup sebab pakai minyak banyak untuk goreng.
”Dengan keadaan sekarang ini, kita terpaksa reda jelah. Saya cuma harap kerajaan bantulah rakyat sebab kita meniaga ini nak cari rezeki,” katanya pada pemberita selepas membeli minyak masak paket di kedai runcit.
Sementara itu, Wan Hassan Wan Derahman,52, yang juga seorang peniaga pasar malam turut mempersoalkan situasi pasaran minyak masak subsidi ketika ini.
Katanya, Malaysia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di Asia Tenggara tetapi kerap menghadapi terputus bekalan minyak masak bersubsidi hingga membebankan rakyat.
Sudahlah harga minyak masak botol 5kg mahal, minyak yang disubsidi pula sukar dicari.
Wan Hassan Wan Derahman .
“Kadang-kadang kita terpaksa beli minyak botol sebab minyak masak paket habis. Saya pun hairan macam mana negara pengeluar boleh ada masalah bekalan minyak.
“Sejak dulu sampai sekarang tiada penyelesaian untuk dapatkan minyak masak paket ini,” ujarnya sambil menambah minyak masak subsidi itu memang penting buat peniaga kecil kerana harganya yang murah.
Dalam pada itu, Sharifah Saidin,49, menzahirkan kebimbangan terhadap golongan B40 kerana terpaksa membeli minyak masak botol pada harga yang agak mahal berbanding minyak masak paket.
“Pada saya keluarga B40 lagi kesian. Susah untuk mereka nak beli minyak botol pada harga yang agak tinggi harga berbanding minyak masak paket.
”Saya harap kerajaan buat sesuatulah dalam menangani isu minyak ini sebab ia sentiasa berulang,” katanya.
Menurut Sharifah, jika isu ini tidak ditangani, peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga barangan yang dijual.
Contohnya pisang goreng, sebelum ini satu pisang hanya 20 sen,sekarang lima keping pisang goreng sudah RM2.
“Kita sebagai pengguna serba-salah tetapi kena fahamlah. Tapi kalau bekalan yang ada pun macam takda, pada saya kekurangan bekalan minyak ini memang menyusahkan semua pihak,” tambah beliau.- MalaysiaGazette