Home Nasional Mohd Khairul akhiri tugas selaku KP Perkhidmatan Awam 15 Januari ini

Mohd Khairul akhiri tugas selaku KP Perkhidmatan Awam 15 Januari ini

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengakhiri tugas selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) pada 15 Januari ini selepas 34 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.

Mohd Khairul diraikan oleh warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Majlis Setulus Budi Memperkasa Pertiwi yang diadakan di Auditorium JPA dan secara atas talian hari ini.

Beliau yang mula berkhidmat di Kementerian Perusahaan Awam pada 12 Januari 1988 dilantik untuk menerajui Perkhidmatan Awam sebagai KPPA pada 1 Oktober 2019.

Menerusi ucapannya, Mohd Khairul menyifatkan perkhidmatan awam adalah tunjang kepada kestabilan negara.

“Tanpa perkhidmatan awam yang utuh tentunya negara kita akan terkesan dengan lebih teruk semasa menghadapi pandemik Covid-19 serta perubahan kepimpinan politik, ini adalah satu lakaran yang unprecedented dalam sejarah negara,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Seri Suhaime Mahbar dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Rose Lena Lazemi.

Dalam pada itu, beliau berkata, semangat ingin bertugas dan menyumbang bakti dengan tulus ikhlas kepada rakyat perlu terpahat dalam kalangan semua penjawat awam.

“Semangat untuk berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas perlu sentiasa disuburkan kerana kita tidak mahu melihat generasi muda penjawat awam lebih mementingkan kemudahan yang mereka terima daripada sumbangan yang mereka berikan.

“Kelangsungan semangat untuk berkhidmat dengan ikhlas boleh direalisasikan dengan usaha yang berterusan untuk meningkat dan menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

“Saya juga sering mengingatkan pegawai-pegawai di JPA bahawa kita perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan nilai (add value) kepada kerja harian walaupun ia dilaksanakan dalam skop yang kecil, tetapi apabila ramai daripada kita yang berbuat demikian, kesannya tentu akan menjadi besar dan dapat dirasakan oleh pihak yang menerima perkhidmatan tersebut,” ujar beliau.

Tambahnya, sebagai agensi pusat yang diamanahkan berkaitan Pengurusan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam, JPA wajib menerajui pembaharuan serta menggerakkan pembaharuan dengan langkah berani supaya kekal relevan sepanjang masa.

Mohd Khairul berkata, sekiranya ada rasa ragu-ragu untuk bergerak ke hadapan serta tidak berani melakukan perubahan selaras dengan perkembangan global yang nbegitu pesat dan dinamik, dikhuatiri JPA tidak lagi menjadi relevan sebagai peneraju dalam perkhidmatan awam.

“Atas kesedaran tersebut serta rasa tanggungjawab terhadap perkhidmatan awam dan negara ini, saya berdoa dan menaruh harapan JPA akan terus mengekalkan legasi serta kekuatan sekarang ini.

“Saya berharap kita semua akan terus bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan yang jitu atau keluarga yang muhibah bagi melonjakkan kecemerlangan perkhidmatan awam Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette