Home Seni Hidup Penderitaan Ainul Nuraisyah hidap penyakit paru-paru kronik dapat perhatian YBR

Penderitaan Ainul Nuraisyah hidap penyakit paru-paru kronik dapat perhatian YBR

Megat Zulkarnain menyerahkan mesin bantuan pernafasan sambil bertanyakan khabar adik Ainul Nuraisyah.

KUALA LUMPUR – Penderitaan ditanggung Ainul Nuraisyah Affendi yang menghidap penyakit Bronkiolitis Obliterans mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Simpati dengan penyakit paru-paru kronik yang dihidapi kanak-kanak berusia 11 tahun itu, YBR menyumbangkan mesin bantuan pernafasan bagi melancarkan sistem pernafasannya.

Bantuan itu disampaikan Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin di rumah Ainul Nuraisyah di Bandar Mahkota Cheras, semalam.

Menurut Megat Zulkarnain, beliau dimaklumkan kanak-kanak itu menghidap penyakit tersebut sejak berusia setahun lagi menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan seumur hidup.

“Berikutan itu, saya terpanggil untuk membantunya selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Malafarizan Mohamad berhubung keperluan mesin bantuan pernafasan untuk anaknya itu.

“Dengan pemberian bantuan alat pernafasan bernilai RM4,200 ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban ditanggung keluarga Ainul Nuraisyah.

“Melihat keadaan Ainul Nuraisyah, kami percaya dia mempunyai semangat jiwa yang kuat dan pastinya sokongan kedua ibu bapa serta ahli keluarga lain menjaganya dengan baik,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abd Ghani dan Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Megat Zulkarnain berkata, Ainul Nuraisyah menghidap penyakit paru-paru kronik dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang hayatnya.

Lebih menyayat hati, katanya, Ainul Nuraisyah tidak dapat menikmati kehidupan sama seperti rakan sebaya dan tidak dibenarkan bermain di luar rumah bersama-sama kanak-kanak lain.

“Bapanya seorang tentera dan ibunya bekerja sendiri turut terkesan dengan kekangan perbelanjaan serta kekurangan pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19,” katanya. – MalaysiaGazette